Comrades

Thursday, 15 September 2011

Pemimpin sebaik pemimpin, tentera sebaik tentera.

"Abu Qubail menuturkan daripada Abdullah bin Amr bin Ash, 'Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah, tiba-tiba beliau ditanya, "Manakah yang akan kalah terlebih dahulu? Konstatinopel atau Rom?" Nabi menjawab "Kota Heraklius yang dikalahkan terlebih dahulu."

"Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya ada sebaik-baik pemimpin, manakala pasukan dibawahnya ialah sebaik-baik tentera." - HR Ahmad bin Hanbal.

Lahirnya seorang anak kecil di sempadan Turki dan Bulgaria, pada tahun 1432M, 29 Mac, hasil daripada perkahwinan Murad dan Huma Hatun. Ketika Murad sedang berfikir tentang Konstantinopel, Syeikh Aq Syamsuddin berkata kepada beliau.

"Tuanku, bukan tuanku yang akan membuka Kota Konstantinopel, tapi anak kecil dalam buaian itulah akan membukanya."

Semangat yang membakar, dan lain daripada orang muda lain. Dia menduduki takhta pada usia yang muda, 19 tahun mewarisi daripada sultan terdahulu, Sultan Murad II yakni ayahandanya. Dengan memimpin beribu-ribu tentera, untuk membebaskan Konstantinopel.

Menghairankan, tidak seperti manusia hari ini yang mudah jatuh, beliau sering melaungkan slogan ini kepada tenteranya "Kamu semua adalah tentera Abu Ayyub al-Ansari." Ternyata, tentera beliau menjadi sangat bersemangat.

Seorang pemimpin yang bijak, ternyata bukan mudah untuk melaksanakannya. Menggerakkan 70 buah kapal Usmaniah di atas daratan amatlah mustahil dan keluar logik akal. Namun demikian, imannya setinggi langit, keyakinannya seluas lautan, tawakalnya merangkumi kepala hingga ke kaki, hanya kepada Allah S.W.T. Bukan dengan itu semata-mata, usaha dengan doa, pemikiran mantap, penyelesaian hebat, itulah pemimpin sebenar.

Kemudiannya, dengan bantuan seorang yang berpotensi membocorkan maklumat negaranya, tapi tetap mempercayainya. Itulah dia, pemimpin yang tidak memilih bulu, yang sentiasa mendengar pendapat, bukan seperti zaman kita sekarang! Hasilnya? Lahirlah Meriam Urban. Sempena nama pencipta Urban yang berasal dari Hungary.
"Dapatkah engkau ciptakan meriam gergasi yang lebih besar daripada yang kau cipta sebelum ini?"
"Aku mampu. Tapi aku jurutera, bukannya tentera. Tiada masalah bagiku menciptanya, cuma lokasinya tidak ku tahu tempat mana yang terbaik."
"Memang itulah tugasmu, dan pasal hal lokasi itu, serahkan kepadaku." 

Memanfaatkan setiap kesempatan yang ada, gerhana bulan, cuaca tidak menentu dan segala bentuk yang boleh mendatangkan kemenangan. Bukan suka-suka untuk menawannya, tapi untuk mempertahankan Islam. Sebuah masjid telah ditukarkan kepada gereja, iaitu masjid Aya Sofya, turut menjadi faktor kepada jihad ini.

Halangan yang dihadapi bukannya satu, tapi banyak. Berkali-kali percubaan, ternyata kebanyakannya gagal. Halangan terbesar, Golden Horn, bukan mudah untuk melaluinya. Tiap percubaan, pastinya syahid. Putus asakah jawapan beliau? Tidak, kerana itu ialah sifat syaitan. Kerana apa tidak berputus asa? Jihad yang tinggi dalam diri mereka.

Itu semangat, bagaimanakah iman mereka? Ternyata iman mereka tinggi belaka. Tiap malam beliau memeriksa khemah tenteranya, siapakah yang sentiasa menunaikan solat malam, itulah tentera yang wajar dimasukkan dalam pasukan hadapan.

Pemikiran beliau memang kritis, kreatif dan inovatif. Hilang satu, plan B. Plan B gagal, plan C. Begitulah seterusnya, sampailah habis huruf pun, tetap ada plannya. Bukan mudah, tapi tak susah. Pemikiran yang mantap, mendorong beliau bersikap optimis, kerana tiap kegagalan ialah kemenangan, yakni syahid bagi mereka terkorban.

Pembinaan menara bergerak, apakah itu? Ternyata bukan sembarangan. Dia mampu membinanya, dengan bantuan tenteranya yang patuh. Dalam satu malam, 4 buah menara disiapkan. Bukan 100-200 orang terlibat, tapi berkemungkinan beribu tentera yang terlibat. Ternyata jihad mereka sangat tinggi.

Menangnya beliau menaklukinya, pada 29 Mei 1453, ketika berumur 21 tahun, dimana pada ketika ini pemuda-pemuda sedang bersuka ria, beliau mencapai kejayaan dengan menakluki Konstantinopel. Beliau berkata Lucas dan penduduk Konstantinopel "Tidakkah kamu semua memikirkan kesannya apabila kesombongan kamu yang enggan menyerahkan Konstantinopel kepada kami secara aman? Lihatlah."

Penduduk di kota tersebut menyenanginya, walaupun pada mulanya membantahnya.
"Semasa Maharaja Konstantine berkuasa, dia bebas melakukan apa saja ke atas kamu semua, namun kamu tidak menentangnya. Tapi sekarang, kami orang Islam berkuasa di sini, kamu semua tawanan kami, boleh dibunuh atau penjara, mengikut perundangan peperangan. Tapi kami maafkan kamu semua. Bebaslah kalian, pulang ke rumah masing-masing tanpa ketakutan, keraguan, jalanilah kehidupan seperti biasa, dan kamu bebas untuk beribadah di gereja-gereja yang ada, kerana kami tak paksa untuk mengikut agama kami. Tapi gereja Aya Sophia, kami ingin menjadikannya sebagai masjid. Apakah balasan kalian terhadap kami?" 

Begitulah beliau. Sehingga satu ketika, ketika hari Jumaat, berfikir beliau siapakah antara mereka layak jadi imam? Pada mulanya beliau mencadangkan gurunya sendiri, iaitu Syeikh Aq Syamsudin untuk menjadi imam di Masjid Aya Sophia untuk kali pertama tapi gurunya sendiri menolaknya. Beliau berkata "Carilah imam terbaik antara kamu semua."

Mahu tak mahu, dia berdiri di kawasan lapan di hadapan masjid Aya Sophia. Beliau membuat pengumuman, dengan memberitahu siapakah di antara mereka yang layak jadi imam, tidak pernah meninggalkan solat dalam tempoh 53 hari peperangan yang memenatkan.

"Aku di sini ingin mencari imam yang terbaik untuk menjadi imam solat Jumaat. Berdirilah kamu semua." Ratusan ribu tenteranya berdiri. Beliau bertanya "Siapakah di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak baligh, sila duduk!" saat beliau habis dengan ayatnya, tenteranya tetap tegak berdiri. Tiada seorang pun duduk. Inilah bukti bahawa tentera beliau sebaik-baik tentera yang terpilih.

"Siapakah di antara kamu pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Ketika ini barulah separuh daripada tenteranya duduk. Beliau berfikir soalan terakhir, dan dengan segera beliau bertanya, "Siapakah di antara kamu pernah meninggalkan solat sunat tahajud?" Kesemua tentera beliau duduk. Tapi hanya seorang sahaja berdiri, siapakah dia?

Itulah dia. SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH. Sultan, panglima tentera Islam yang muda, yang membebaskan Konstantinopel, dan membenarkan hadis nabi pada awalnya.

Ternyata beliau seorang tokoh Islam paling hebat pernah lahir. Bukan mudah menjadi seperti beliau, tapi dengan kekuatan hati yang ada, Muhammad al-Fateh berjaya menakluki Konstantinopel, setelah 10 percubaan sebelum beliau gagal. Ini bermakna, jika dia boleh buat, kenapa kita tak boleh? 

AvA - Sultan Muhammad al-Fateh. Pemimpin sebaik pemimpin, tenteranya sebaik tentera, membenarkan hadis nabi yang ada di atas. Aku menulis berdasarkan apa yang aku baca, dan dialog-dialog itu memang benar, walaupun diubah daripada struktur ayat, maksudnya tetap sama. Insya Allah. (Betulkan aku jika salah)

No comments:

Post a Comment