Comrades

Monday, 16 July 2012

Setiap kesusahan ada kesenangan.

Kadangkala apabila kita diberi tugas, terutamanya kalau tugas tersebut banyak dan perlu dilaksanakan dalam tempoh masa yang pendek, pastinya kita berasa 'stress'.

Jangan tipulah pembaca, penulis sendiri pun pernah dan mengalaminya tanpa disedari.

Apabila kita terima tugas tersebut tanpa kerelaan kita, dengan banyak lagi tugasan lain menghimpit kita, disitulah akhlak dan iman kita memainkan peranan, termasuklah niat kita.

Kita sentiasa berkata, buatlah sesuatu benda itu kerana Allah, ayat simple lagi difahami dan mudah, tetapi kita langsung tidak menghayati sepenuh hati, kecuali waktu solat dan beberapa ibadah khusus saja.

Itu kecuali, kalau solat ekspress? Wallahualam, penulis bukan pakar dalam bidang niat-niat ini.

Tapi apa yang penulis ingin tekankan di sini ialah bagaimana kita mengurus perasaan marah, stress kita ketika tugasan-tugasan menyerang akhlak dan iman kita.

Berani penulis menaip sedemikian kerana di situ akhlak kita akan menjadi kayu ukuran, sama ada baik akhlak kita walaupun stress atau buruk.

Ketika stress, manalah ada orang mahu senyum kan? Lihat orang pun macam mahu makan orang, bercakap pun macam mahu bunuh orang walaupun tidak ditujukan kepada sesiapa.

Nabi, walaupun dihina, dikeji, dicaci, dimaki tapi boleh menjaga akhlak baginda. Oh, pastinya kita berkata, "dia tu nabi, rasul. Kita tidak sama dengan dia."

Nabi seorang manusia, fitrah seperti kita, kahwin, makan, minum, tidur, bersukan, bergurau, ramah, tapi kenapa baginda dapat menunjukkan akhlak dengan baik?

Dengan izinNya, alhamdulillah, dialah role model terhebat sepanjang zaman, sepanjang bumi ini wujud, sepanjang dunia ini masih bernyawa.

Kita kata kita sayang nabi, akhlak sekecil itu pun kita tidak mampu buat?

Bersabarlah, bersabarlah. Walaupun tugasan banyak, tapi ingat, niat kita di situ boleh terpesong.

Kenapa penulis berani taip begitu? Berapa ramai, ketika tugas menyerang, boleh ingat Allah? Memang penulis sendiri jarang begitu, tapi biarlah saling ingat-mengingati seperti dinyatakan dalam surah Al-Asr 1-3. Rasanya, ayat tersebut dihafal oleh setiap manusia sebab pendek.

Ketika stress, di situ kita akan merungut banyak macam, banyak ragam sehingga kita kadang-kadang 'terungkit' perkara yang telah kita buat. Apakah?

"SAya sudah buat itu ini, penat saya jalan sana sini, urus itu ini, tidak kasihan ke?"

"Saya penat ni, tolonglah simpati dengan saya, saya sudah urus itu, kalau bukan saya urus, siapa lagi? Mahu harap yang lain?"

"Kau ni, saya tengah stress ini, malas mahu main."

Ayat standard, jarang orang berkata begini.

"Tak apa, ujian daripada Allah, penebus dosa."

"Tak apa biar saya buat, mungkin Allah beri peluang untuk buat baik."

"Tak apa, semua saya buat ini kerana Allah."

Jarang, amatlah jarang penulis dengar ini, memang ada tetapi jarang.

Penulis akui, penulis juga begitu, tapi marilah kita buat sesuatu itu, walaupun membebankan, walaupun menyusahkan, kerana Allah, sebab Allah tidak akan uji hambaNya melainkan kita mampu.

Siapalah kita ini jika dibandingkan dengan ulama, para salafussoleh, imam-imam, sahabat-sahabat mahupun nabi sendiri, mereka jauh lebih banyak dugaan berbanding kita yang mempunyai iman senipis bawang. Mereka? Iman mereka umpama batu bata yang susah dipecahkan.

Jadi jika ada tugas yang membebankan, anggaplah ia ujian penebus dosa, penambah pahala dan memberi hikmah yang kita tidak nampak. Hikmah itu sesuatu yang kita tidak nampak, kadangkala ia jauh atau dekat. Hikmah terbaik dan paling jauh ialah jika hikmah tersebut kita dapat di akhirat, yang membawa kita masuk ke syurgaNya.

Apapun, harap taipan kali ini membuka minda kita untuk melihat sesuatu perkara itu dari banyak sudut, dan memikirkan hikmah yang sangat luas Allah berikan. Insya Allah, setiap perkara itu ada hikmahnya walaupun kita terpaksa bersusah payah terlebih dahulu sebelum mencapai kesenangan.

Jangan sampai tugasan yang banyak itu memesongkan niat kita. Nauzubillah.

No comments:

Post a Comment